Amanah tetap mahu tanding PRN Sabah

Amanah tetap mahu tanding PRN Sabah

Setiausaha Agung Muhammad Faiz Fadzil tolak gesaan Amanah beri laluan kepada parti tempatan, kukuh asas di Semenanjung.

Sebelum ini Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata pihaknya sedang memuktamadkan kawasan ditandingi PRN Sabah dengan dua kerusi selesai dirunding manakala tiga masih dalam proses.
PETALING JAYA:
Amanah tidak mahu berganjak dengan hasrat bertanding pada PRN Sabah di sebalik gesaan penganalisis supaya komponen Pakatan Harapan (PH) itu memberi laluan kepada parti tempatan selain mengukuhkan asas di Semenanjung dahulu.
Muhammad Faiz Fadzil
Muhammad Faiz Fadzil.

Menolak tanggapan kehadirannya diibaratkan parti payung terjun, Setiausaha Agung Muhammad Faiz Fadzil berkata pendirian mereka itu selepas mengambil kira kekuatan parti yang mungkin memberi kerusi sulung pertamanya di Malaysia Timur.

“Amanah akan kekal bertanding di Sabah dan tidak akan sesekali menarik diri, keputusan ini dibuat dengan keyakinan terhadap kekuatan kita,” katanya kepada FMT sambil memakluman perkara itu dibincang dengan rakan berpotensi.

Menurut Faiz, parti itu kini lebih yakin bertanding selepas menjadi kerajaan.

“Menerusi penambahan kekuatan Amanah selepas lima tahun, jentera semakin kukuh dan kami yakin pengaruh di Sabah semakin meningkat,” katanya.

Ahad lalu, FMT melaporkan kenyataan penganalisis Awang Azman Pawi yang menyarankan Amanah memperkukuh matlamat asalnya untuk menjadi alternatif kepada PAS, berbanding mengejar kerusi pada PRN Sabah.

Ahli akademik dari Universiti Malaya (UM) itu menyarankan parti komponen PH tersebut sepatutnya memberi laluan kepada parti tempatan yang bakal menjalin kerjasama dengannya.

Pada 19 Julai lalu, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata pihaknya sedang memuktamadkan kawasan ditandingi pada PRN Sabah dengan dua kerusi selesai dirunding manakala tiga masih dalam proses iaitu Tanjung Aru, Lumadan dan Sulabayan.

Kerusi Tanjung Aru dan Sulabayan kini disandang Junz Wong serta Jaujan Sambakong daripada Warisan manakala Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Ruslan Muharam menyandang DUN Lumadan.

Untuk rekod calon Amanah Rosdy Wasli bertanding atas tiket Warisan di kerusi DUN Tanjung Keramat namun kalah pada PRN Sabah 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.