
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, berkata kes itu membabitkan seorang ahli kesatuan wanita yang mendakwa penyelianya menyentuh serta memeluknya tanpa kebenaran, selain menarik tali colinya.
Beliau berkata, pekerja itu membuat aduan rasmi kepada Jabatan Sumber Manusia syarikat, tetapi mendakwa ia hanya mengeluarkan amaran terakhir kepada penyelia terbabit.
“Lebih mengejutkan, pengadu diarah bertukar ke jabatan lain, bukan pelakunya,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Lee berkata, kes itu yang didakwa bermula Jun lalu dibawa ke perhatiannya oleh Kesatuan Pekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan, yang bertindak membantu pengadu.
Pengadu kemudian membuat laporan polis, merayu kepada Jabatan Tenaga Kerja dan merujuk perkara itu kepada tribunal di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022.
Lee turut mempersoalkan sama ada syarikat itu mengikuti proses wajar dalaman kerana mendakwa siasatan dalaman sewajarnya tidak dijalankan mengikut prosedur standard.
FMT tidak mendedahkan nama syarikat itu sehingga mendapat maklum balas.
Lee menggesa Kementerian Sumber Manusia meningkatkan penguatkuasaan dan mempertimbangkan mekanisme aduan tanpa nama.
“Saya mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk membangunkan aplikasi mudah alih dengan fungsi peti mel respons, Anonymous Response Mailbox, di mana pengadu boleh menyemak status siasatan mereka dan berkomunikasi dengan pihak berkuasa tanpa mendedahkan identiti sendiri melainkan mereka sedia berbuat demikian.
“Ini akan membantu ramai mangsa dan saksi masih takut untuk tampil kerana bimbang dengan tindakan balas.”
Ditanya sama ada terdapat aduan lain terhadap pelaku itu, Lee berkata, beliau tiada maklumat latar belakang individu terbabit sambil bertanya: “Adakah itu penting?”