
Hakim Roz Mawar Rozain mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan saman yang difailkan oleh keluarga Smit terhadap polis dan kerajaan atas kegagalan melaksanakan tugas serta kecuaian dalam siasatan kes berkenaan.
“Pendakwa raya adalah individu paling sesuai untuk menilai sekiranya ada tindakan lanjut yang perlu diambil.
“Siasatan hendaklah disambung semula seperti yang telah diperintahkan Mahkamah Tinggi pada 2019,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan supaya pegawai penyiasat, Faizal Abdullah, dikeluarkan daripada pasukan siasatan yang menyiasat kematian remaja itu pada 2017.
Terdahulu hari ini, mahkamah memutuskan bahawa kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kecuaian serta pelanggaran tugas statutori.
Kerajaan diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM1.1 juta kepada keluarga Smit.
Smit, 18, ditemui mati di tingkat enam kondominium CapSquare Residence pada 7 Dis 2017 selepas terjatuh dari sebuah unit di tingkat 20.
Dalam penghakimannya, Roz Mawar berkata siasatan awal yang dijalankan oleh Faizal menunjukkan siri kegagalan, ketidakcekapan, dan pengabaian terhadap prosedur siasatan.
Beliau berkata Faizal gagal mengutip bukti daripada unit milik pasangan Alex Johnson dan Luna Almaz. Pegawai itu juga gagal menyiasat kesan ‘tapak kaki’ di balkoni, serta tidak mengendalikan kedua-dua suspek dengan sewajarnya.
Roz Mawar turut menambah, semasa dalam tahanan, Alex dan Luna masih membawa telefon bimbit mereka.
“Mereka menghubungi pembantu rumah untuk membersihkan rumah tersebut, menyebabkan bukti penting dialihkan,” katanya.
Hakim juga menyebut bahawa Faizal mengakui dalam keterangannya bahawa notis biru Interpol terhadap Alex dan Luna adalah ‘tidak efektif’.
Beliau berkata Faizal turut mendakwa bahawa beliau telah merekod kenyataan saksi, melawat semula tempat kejadian, dan beri taklimat kepada kedutaan Belanda mengenai kes itu.
“Namun tiada bukti dokumentasi dikemukakan untuk menunjukkan beliau benar-benar melakukan apa perkara itu,” kata Roz Mawar.
Peguam SN Nair, Wong Guo Jin, dan L Narendran mewakili keluarga Smit, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb mewakili kerajaan dan polis.
Nair kemudian memberitahu media bahawa keluarga Smit berasa terbela dengan keputusan itu.
“Kes ini menekankan betapa pentingnya kebertanggungjawaban pihak polis,” katanya.
Duta Belanda ke Malaysia, Jacques Werner, turut hadir semasa keputusan diumumkan.