Kematian komando ketika latihan ‘Seaghost’ mungkin libat peralatan

Kematian komando ketika latihan ‘Seaghost’ mungkin libat peralatan

Peralatan diguna ketika latihan didapati sudah agak lama, boleh jadi antara faktor penyumbang kejadian, kata panglima tentera darat.

Muhammad Hafizuddeain Jantan
Panglima Tentera Darat Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya berdepan cabaran dalam pengurusan aset sedia ada, yang kebanyakannya ialah ‘aset legasi’ yang telah berusia. (Gambar Bernama)
LENGGONG:
Siasatan awal insiden kematian seorang anggota Rejimen 22 Komando Grup Gerak Khas (GGK) mendapati terdapat kemungkinan isu melibatkan peralatan yang digunakan semasa latihan dijalani anggota terbabit.

Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, perkara itu sedang diteliti secara menyeluruh oleh lembaga siasatan ditubuhkan oleh pihaknya.

“Hasil dapatan awal menunjukkan peralatan yang digunakan telah agak lama yang boleh menjadi antara faktor penyumbang kejadian,” katanya.

“Kita juga sedang menjalankan audit serta siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada ia berpunca daripada kegagalan peralatan atau kesilapan manusia.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Serangan Akhir dan Penutup Eksesais Keris Strike 2025 di Felda Lawin Selatan hari ini.

Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, terkorban semasa menyertai Latihan Seaghost Siri 1/2025 di perairan Kuantan, Pahang pada 3 Julai lepas.

Beliau dilaporkan hilang kira-kira 12.15 tengah hari ketika melaksanakan latihan selam menggunakan Closed Circuit Breathing Apparatus (CCBA) sebelum mayatnya dijumpai oleh pasukan penyelamat kira-kira 10 pagi, 5 Julai.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, pihak tentera sentiasa mematuhi prosedur penyelenggaraan mengikut jadual ditetapkan berdasarkan tempoh hayat peralatan serta senjata, termasuk CCBA yang digunakan dalam latihan.

“Setiap aset yang digunakan mempunyai dasar jangka hayat seperti 10 atau 20 tahun dan sepanjang tempoh itu, penyelenggaraan berjadual dilaksanakan,” katanya.

“Kita sedang teliti sama ada penyelenggaraan ini dilaksanakan mengikut ketetapan atau sebaliknya, malah tempoh siasatan juga bergantung pada tahap kerumitan isu yang dibangkitkan.”

Beliau tidak menafikan pihak tentera darat berdepan cabaran dalam pengurusan aset sedia ada, yang kebanyakannya ialah ‘aset legasi’ seperti kenderaan dan sistem sokongan yang telah berusia.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya melaksanakan penyelenggaraan yang teliti bagi memastikan kesiapsiagaan kekal pada tahap optimum untuk melaksanakan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.