
AKPS dalam kenyataan memaklumkan empat individu itu antara 132 warga asing diperiksa dalam operasi pemantauan dan saringan dokumen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Menurutnya, empat individu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita dewasa itu dikesan berlegar-legar tanpa hala tuju di kawasan terminal yang menimbulkan kecurigaan anggota Unit Pemantau KLIA Terminal 1.
“Berdasarkan siasatan awal, empat individu terbabit tiba di Malaysia pada 9.20 malam 24 Julai lepas menerusi penerbangan Emirates Airlines EK342, namun gagal melaporkan diri di kaunter imigresen dalam tempoh ditetapkan.
“Difahamkan, mereka berada di kawasan terminal selama empat hari tanpa melalui proses pemeriksaan imigresen seperti sepatutnya.”
Katanya, hasil semakan lanjut dokumen perjalanan mereka mendapati semua visa digunakan palsu.
“Dalam siasatan lanjut, mereka mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke Uzbekistan yang kononnya sebagai transit, visa palsu itu diperoleh melalui seorang ejen dengan bayaran USD6,000 (RM25,386.00).”
Susulan itu, AKPS mengambil tindakan menolak kemasukan empat individu itu dan akan dihantar pulang ke negara asal mereka pada 30 Julai ini melalui penerbangan Emirates Airlines.