
Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata Mahathir tahu Anwar tidak boleh diturunkan melalui demonstrasi jalanan, justeru bekas perdana menteri cuba mencari isu sensasi untuk mendesak presiden PKR ‘menyerah’.
“Begitulah Mahathir. Semua perdana menteri selepasnya iaitu Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) dan Najib (Razak) dijatuhkan.
“Apakah Anwar jadi mangsa seterusnya? Tun M juga tahu, Anwar tidak boleh diturunkan melalui demonstrasi jalanan.
“Dia akan cari isu sensasi. Dia akan mengorek. Kita tidak tahu siapa bocorkan minit mesyuarat JAC. Tetapi itu amaran. Mereka akan terus mengorek,” katanya di Facebook.
Beliau juga mengimbau peristiwa Konvensyen Umno Johor di Pulau Sibu, Mersing pada 13 Jun 1998 yang mana ketika itu dirasmikan Anwar selaku timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri kepada Mahathir.
Dakwanya, pada konvensyen itu, Anwar secara lantang menyahut seruan menteri besar Johor ketika itu Abd Ghani Othman menolak amalan nepotisme yang menolong suku-sakat serta keluarga sendiri.
“Semasa berucap, Anwar menyeru ‘ayuh semua, sebelum kita terlambat, sebelum apa yang berlaku di negara jiran berlaku di negara kita, maka kita perlu bangkit melakukan reformasi’, merujuk kepada demonstrasi jalanan besar-besaran di Indonesia ketika itu.
“Sudah tentu Mahathir rasa terancam dan kepanasan? Saya yakin itu punca Anwar mesti dipecat,” katanya.
Puad berkata, Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 2 Sept 1998, diikuti timbalan presiden Umno dan ahli pada esoknya.
“Tun M pandai cari alasan kukuh yang boleh diterima rakyat dan ahli Umno sebagai justifikasi memecat Anwar daripada dua jawatan itu.
“Liwat hanyalah sebab-musabab. Ia bukan alasan utama. Sebenarnya, Tun M tidak boleh terima keluarganya disentuh dan kemungkinan dia akan dilawan dalam pemilihan parti,” katanya.
Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) menganjurkan perhimpunan ‘Turun Anwar’ untuk mendesak perdana menteri meletak jawatan.
Himpunan itu turut dihadiri Mahathir dan beberapa pemimpin parti pembangkang. Ketika berucap, Mahathir mendesak Anwar meletakkan jawatan, susulan perhimpunan mengumpulkan hampir 20,000 peserta di Dataran Merdeka.