Beri PN kuasa dulu, baru umum calon PM, kata Hashim

Beri PN kuasa dulu, baru umum calon PM, kata Hashim

Mursyidul Am PAS itu yakin Perikatan Nasional mampu memerintah dengan lebih baik berbanding kerajaan sekarang.

Hashim Jasin
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata Perikatan Nasional akan mengumumkan calon perdana menteri gabungan itu selepas berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) hanya akan memutuskan siapa yang bakal menjadi calon perdana menterinya selepas gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Beliau berkata, PAS sendiri mempunyai beberapa pemimpin berwibawa yang layak memegang jawatan itu, namun parti itu tidak akan menamakan sesiapa sebagai ‘poster boy’ buat masa ini, lapor Utusan Malaysia.

“Memang tidak nampak lagi ‘poster boy’ tapi beri kuasa dulu, kita ketengahkan calon dan memerintah jauh lebih baik daripada kerajaan sekarang,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Mengambil contoh kepimpinan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, Hashim berkata ramai tidak yakin dengan kebolehan Nik Aziz ketika PAS mengambil alih Kelantan pada 1990, namun beliau kemudiannya memimpin negeri itu selama lebih dua dekad dengan pencapaian yang cukup baik.

“Bukan profesional sahaja yang layak diketengahkan, sebaliknya ulama juga mampu mengetuai kerajaan dengan cukup baik. Sama juga seperti sekarang,” katanya.

Perhimpunan Turun Anwar anjuran Pemuda PAS Sabtu lalu menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan atas isu kos sara hidup dan ketidakpuasan hati terhadap keadaan ekonomi semasa.

Bagaimanapun, pengkritik mendesak PN menamakan calon perdana menteri bagi menggantikan Anwar.

Pada Mac lalu, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin berkata tiada keperluan mendesak bagi PN menamakan calonnya ketika ini kerana perkara itu perlu diteliti dengan cermat demi memastikan kesepaduan dalam gabungan.

Isu calon perdana menteri PN mula mendapat perhatian sejak November lalu apabila Hashim menafikan bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin disahkan sebagai calon rasmi PN untuk PRU16, sambil menegaskan bahawa PAS wajar mengetuai gabungan itu.

Namun, beberapa pemimpin dalam Bersatu dan Gerakan terus menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai calon utama perdana menteri mewakili PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.