Bapa direman 7 hari berkait kematian anak

Bapa direman 7 hari berkait kematian anak

Lelaki itu ditahan selepas mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemui di satu lokasi di Rompin, Negeri Sembilan semalam.

M Kumarasan
Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan berkata suspek pada awalnya mendakwa anaknya hilang ketika ditinggalkan di dalam kereta semasa suspek keluar membeli makanan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian anak lelakinya, yang mayatnya ditemukan di Rompin, Negeri Sembilan selepas suspek membuat laporan mendakwa kanak-kanak itu hilang di Bukit Indah pada 24 Julai lepas.

Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang juga bapa kandung mangsa, pada awalnya mendakwa anaknya hilang kira-kira 4 petang, 23 Julai ketika ditinggalkan di dalam kereta semasa suspek keluar membeli makanan.

“Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut terhadap lelaki itu membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan Rompin, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Beliau berkata suspek ditahan kira-kira 12.20 tengah hari pada hari sama laporan dibuat, dan siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bebas daripada pengaruh dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 25 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Kes telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jempol untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak disyaki dibunuh, sebelum ditanam di lokasi berkenaan kira-kira 4.30 petang, semalam.

Pada 26 Julai lepas, polis turut memohon bantuan orang ramai bagi mengesan mangsa berusia enam tahun yang dilaporkan hilang ketika berada di sebuah kopitiam di Taman Bukit Indah, di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.