Anggota JPJ didakwa minta, terima rasuah RM1,000

Anggota JPJ didakwa minta, terima rasuah RM1,000

Faizul Azizin Abdul Wahid didakwa terima wang itu untuk tak ambil tindakan ke atas sebuah kenderaan tiada lesen dan tak lulus Puspakom.

seremban court
Pembantu penguat kuasa JPJ Negeri Sembilan, Faizul Azizin Abdul Wahid didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM1,000. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM1,000 pada November tahun lalu.

Faizul Azizin Abdul Wahid, 34, yang bertugas di JPJ Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Faizul didakwa cuba memperoleh wang tunai RM1,000 secara rasuah daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas sebuah kenderaan yang tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor dan tidak lulus pemeriksaan Puspakom.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di KM273.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di Seremban pada 12 Nov 2024, kira-kira 2 petang.

Faizul juga didakwa menerima suapan RM1,000 secara tidak langsung melalui beberapa transaksi akaun bank sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu sama atas kesalahan sama.

Perbuatan itu didakwa berlaku pada hari yang sama, antara jam 2.30 hingga 5 petang di hadapan Stesen KTM Senawang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zainab Yahaya mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Che Muji Che Noh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik dan perlu menanggung nafkah tiga anak selain menyara ibu bapa yang kurang sihat di kampung.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 4 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.