
Wan Ahmad Farid, 62, turut mengangkat serta melafaz sumpah taat setia jawatan pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan Ketua Hakim Negara yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Beliau yang sebelum ini merupakan hakim Mahkamah Rayuan turut dikurniakan surat cara pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi serta Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi, diikuti suratcara pelantikan kepada lapan hakim Mahkamah Rayuan serta 14 hakim Mahkamah Tinggi.
Wan Ahmad Farid dilantik ketua hakim negara ke-17 bagi menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu.
Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Abu Bakar, 63, pula mengisi kekosongan jawatan presiden Mahkamah Rayuan susulan persaraan Abang Iskandar Abang Hashim pada 3 Julai, manakala Azizah, 63, menggantikan Abdul Rahman Sebli yang bersara pada 24 Julai.
Wan Ahmad Farid yang memiliki ijazah sarjana muda undang-undang (LLB Hons) dari University of West London dan memperoleh certificate in legal practice (hons) daripada Universiti Malaya memulakan kerjaya guamannya sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Adnan & Wee, Kuala Terengganu, dari 1987 hingga 2003.
Selain kerjaya perundangan, anak jati Kuala Terengganu itu juga aktif dalam bidang pentadbiran dan politik dengan pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008 sebelum dilantik timbalan menteri dalam negeri dari 2008 hingga 2009.
Antara 2011 hingga 2015, Wan Ahmad Farid kembali ke bidang guaman sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Wan Farid & Surin, Kuala Lumpur hingga dilantik pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu dari 2015 hingga 2019.
Beliau kemudian dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024 dan pernah bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mahkamah Tinggi Shah Alam (Bahagian Kuasa-kuasa Khas), serta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-kuasa Khas 3).