Pemuda Umno Subang lulus usul had umur ketua bawah 40 tahun

Pemuda Umno Subang lulus usul had umur ketua bawah 40 tahun

Ketua Pemuda Subang Fariz Hazurin Ismail berkata parti perlu berani membuat perubahan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat khususnya orang muda.

Pemuda Umno Subang meluluskan usul untuk menghadkan umur ketua pemuda tidak melebihi 40 tahun yang dilihat sebagai untuk meremajakan parti.
PETALING JAYA:
Pemuda Umno Subang meluluskan usul mengehadkan umur jawatan ketua sayap itu kepada bawah 40 tahun.

Ketua Pemuda Subang, Fariz Hazurin Ismail, berkata parti perlu berani membuat perubahan untuk mengembalikan semangat dan kepercayaan rakyat terutama orang muda.

“Kami meluluskan usul untuk mengehadkan umur ketua pemuda tidak melebihi 40 tahun. Ia selari juga dengan jawatan ketua Pemuda bahagian yang juga tidak melebihi 40 tahun.

“Keputusan ini adalah untuk membantu Pemuda Umno meremajakan parti supaya orang muda melihat Umno sebagai parti yang relevan yang memberi peluang anak muda berada dalam kepimpinan,” katanya kepada FMT selepas mesyuarat Pemuda Umno Subang, semalam.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata jika parti mahu mendapatkan semula kepercayaan rakyat, perubahan perlu dilakukan segera, antaranya dengan mengurangkan had umur untuk jawatan ketua Pemuda.

Akmal berkata, sebelum ini jawatan itu pernah dipegang individu melebihi 40 tahun, malah ada hingga 63 tahun. Bagaimanapun, parti itu perlu sedar selepas penolakan oleh golongan muda dalam PRU lalu, mereka perlu berubah untuk kembali kuat.

Dalam pada itu, Fariz berkata selain had umur, mereka turut meluluskan usul supaya kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim melaksanakan titah adendum dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah.

“Kita berharap titah itu dapat dilaksanakan segera tanpa bertangguh lagi. Itu usul yang Pemuda Umno Subang luluskan,” katanya.

Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.