
Persetujuan itu dicapai selepas satu mesyuarat dihadiri Anwar, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, di tengah-tengah konflik yang masuk hari kelima hari ini dan meragut sekurang-kurangnya 35 nyawa.
“Kemboja dan Thailand telah mencapai persefahaman bersama…bagi melaksanakan gencatan senjata segera tanpa syarat bermula tengah malam,” kata Anwar pada sidang media bersama kedua-dua pemimpin itu.
“Ini adalah langkah awal yang penting ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan dan keselamatan.”
Beliau berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju menyambung semula komunikasi langsung antara perdana menteri, menteri luar, dan menteri pertahanan masing-masing.
Menteri luar dan pertahanan Malaysia, Kemboja, dan Thailand turut diarah merangka satu mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan, dan pelaporan gencatan senjata itu.
“Mekanisme ini akan menjadi asas kepada keamanan yang berkekalan dan kebertanggungjawaban,” kata Anwar.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin bersetuju mengadakan mesyuarat tidak rasmi melibatkan komander wilayah esok pagi, diikuti mesyuarat bersama atase pertahanan tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak.
Kedua-dua pemimpin juga akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum yang akan dihoskan Kemboja, pada 4 Ogos.
Anwar berkata, mesyuarat itu menegaskan semula komitmen bersama Malaysia, Kemboja, dan Thailand menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, hidup aman bersama, serta kerjasama pelbagai hala dalam usaha mencapai penyelesaian yang ‘adil dan berkekalan’ terhadap situasi tersebut.
Phumtham pula menyuarakan harapan agar gencatan senjata itu dilaksanakan ‘dengan penuh keikhlasan’ oleh kedua-dua negara.
“Thailand mahukan penyelesaian secara aman,” katanya.
Hun Manet pula berkata, beliau berharap langkah-langkah diumumkan Anwar akan membuka jalan kepada perbincangan dua hala secara terbuka serta menjadi asas kepada pengurangan ketegangan pada masa akan datang.
Beliau turut menghargai usaha Anwar kerana menganjurkan mesyuarat yang ‘mendesak dan tepat pada masa’ serta ikhtiar menjadi perantara bagi mencapai gencatan senjata segera antara kedua-dua negara.
Mesyuarat hari ini, yang diusahakan Malaysia selaku pengerusi Asean tahun ini, diadakan bagi meredakan ketegangan susulan pertempuran terburuk antara dua jiran tetangga Asia Tenggara itu dalam tempoh lebih sedekad.
Lebih 35 terbunuh dan lebih 270,000 lagi dipindahkan di kedua-dua negara sejak pusingan terbaru pertempuran tercetus pada 24 Julai lalu.
Thailand dan Kemboja mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik berhubung jajaran sempadan bersama sepanjang 817km.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asean itu memuncak sejak 28 Mei, selepas seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempuran berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan di Preah Vihear, kira-kira 360km dari Bangkok.
Anwar ada berhubung dengan kedua-dua pemimpin itu secara berasingan pada Jumaat lalu, merayu mereka mencapai gencatan senjata segera dan kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.
Turut hadir pada mesyuarat hari ini, ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan, dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, berkata beliau yakin Thailand dan Kemboja akan menyelesaikan perbezaan mereka selepas memberitahu kedua-dua pemimpin itu beliau tidak akan memeterai sebarang perjanjian perdagangan selagi pertempuran tidak dihentikan.