
Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata mayat kanak-kanak itu ditemui susulan penahanan bapa mangsa berusia 36 tahun oleh polis Johor.
“Polis Jempol menerima maklumat penemuan mayat di kawasan Rompin kira-kira 4.30 petang hari ini.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Johor Bahru yang mana seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Johor Bahru pada 24 Julai.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang hilang (sebelum penemuan mayat),” katanya menurut Harian Metro.
Katanya, selepas penahanan suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa ditanam di kawasan Rompin, Jempol disyaki dibunuh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan,” katanya.
Mayat dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk prosedur bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Sebelum ini, Ketua Polis Iskandar Puteri M Kumarasan, dilaporkan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kehilangan mangsa pada 24 Julai, 2.15 pagi daripada bapa kanak-kanak itu.