3 ditahan, bunga ganja RM10 juta dirampas

3 ditahan, bunga ganja RM10 juta dirampas

Suspek menyeludup bunga ganja melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa melalui zon bebas Rantau Panjang.

Tiga daripada enam beg berisi bunga ganja bernilai RM10 juta yang dirampas di dua lokasi di Rantau Panjang Rabu lalu. (Gambar JKDM)
PETALING JAYA:
Tiga ditahan selepas Jabatan Kastam Kelantan mematahkan cubaan menyeludup lebih 102kg bunga ganja bernilai RM10 juta susulan rampasan di Rantau Panjang minggu lalu.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata dua wanita dan seorang lelaki ditahan ketika rampasan di pintu zon bebas cukai dan Hentian Bas Rantau Panjang.

Beliau berkata, rampasan pertama pada 10.30 pagi Rabu lalu susulan pemeriksaan ke atas tiga beg ditinggalkan di pintu 1 zon bebas cukai.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiga beg itu mengandungi 88 peket plastik lutsinar disyaki bunga ganja,” katanya menurut Berita Harian.

Pada masa sama, beliau berkata, pemeriksaan ke atas seorang wanita yang membonceng motosikal bersama beg dibawa melalui pintu 1 menjumpai 32 peket plastik lutsinar disyaki bunga ganja.

Hasil siasatan ke atas suspek wanita itu, katanya, dua beg mengandungi 60 peket plastik lutsinar disyaki bunga ganja ditemui dalam serbuan di Hentian Bas Rantau Panjang, dengan seorang lelaki dan wanita ditahan.

“Keseluruhan rampasan membabitkan enam beg mengandungi 180 peket plastik lutsinar dengan anggaran berat 102.178kg disyaki bunga ganja,” katanya sambil menambah nilai keseluruhan rampasan lebih RM10 juta.

Menurutnya, modus operandi suspek ialah menyeludup bunga ganja melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa melalui zon bebas Rantau Panjang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.