
Hajiji, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendedahkan beliau terkejut dengan kata diucapkan pemimpin berkenaan yang tidak dinamakan.
“Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya bersama Masidi Manjun dan Jeffrey Kitingan ketika berjumpa seorang pemimpin besar di sana suatu masa dahulu. Orang itu menyatakan bahawa mereka ialah ‘master’. Dia tidak suka dengan blok Borneo, dia tidak mahu kita berkongsi pengalaman dan cerita dengan negeri jiran kita, Sarawak.
“Saya amat terkejut dengan kata-katanya. Lama saya berfikir, apa erti dan niat beliau menyatakan demikian. Fikir punya fikir, terus tawar hati saya kepada mereka. Akhirnya, setelah berfikir panjang, saya membuat keputusan membawa GRS menyokong kerajaan perpaduan,” katanya memetik Sabah Media.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan perpaduan diterajui Anwar, Sabah menerima layanan lebih adil termasuk isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Alhamdulillah, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan perdana menteri mendengar suara kita dan kita dilayan sebaiknya.
“Oleh itu, saya menyatakan sekali lagi bahawa GRS tetap menyokong beliau. Banyak inisiatif dan tuntutan kita dalam MA63 diluluskan oleh perdana menteri.
“Sebelum itu amat sukar untuk mereka turunkan kuasa atau meluluskan permintaan. Jadi, apa yang kita harapkan? Kalau kerajaan perpaduan baik untuk negeri kita, kenapa tidak kita sokong kerajaan ini?” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji memaklumkan beliau akan menyertai lawatan bersama perdana menteri ke Jakarta, pada Isnin.
Katanya, perbincangan dengan perdana menteri itu akan melibatkan isu pembangunan bersama di kawasan Laut Sulawesi serta tuntutan berkaitan hasil pulangan negeri 40% daripada kerajaan persekutuan.
“(Perbincangan) Sulawesi, Indonesia yang dipanggil Ambalat. (40%) nanti kita terus tuntut,” katanya.