‘Potensi menjadi realiti’, fasa pertama kilang RM30 bilion Infineon siap

‘Potensi menjadi realiti’, fasa pertama kilang RM30 bilion Infineon siap

Pembinaan kilang 200mm Silicon Carbide Power Fab terbesar dunia di Kulim Hi-Tech Industrial Park bagi fasa pertama siap dan beroperasi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim umum potensi pelaburan RM30 bilion susulan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Infineon di Jerman. (Gambar Tengku Zafrul Aziz)
KUALA LUMPUR:
Pelaburan mega Infineon Technologies bukan sahaja melonjakkan Malaysia sebagai pusat pengeluaran semikonduktor global, malah mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan potensi pelaburan RM30 bilion itu semasa misi pelaburan dan perdagangan ke Jerman, susulan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Infineon di sana.

“Kini, potensi itu telah menjadi realiti. Infineon Technologies, gergasi semikonduktor dari Jerman, telah memulakan tambahan pelaburan sebanyak RM30 bilion untuk pembinaan kilang 200mm Silicon Carbide (SiC) Power Fab terbesar di dunia di Kulim Hi-Tech Industrial Park, Kedah,” katanya dalam catatan di X.

Tengku Zafrul berkata, fasa pertama kilang ini bukan sahaja sudah siap, malah telah mula beroperasi, menandakan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan kerajaan pusat dalam menarik pelaburan bernilai tinggi ke Kedah.

Komitmen Infineon itu juga kata beliau, turut memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui program pembangunan vendor tempatan yang dilancarkan pada 15 Jan 2025, yang kini menyokong 139 syarikat tempatan.

Pelaburan ini adalah komitmen yang sangat signifikan dan bukti keyakinan Infineon terhadap Malaysia. “Daripada potensi, kita jadikan realiti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.