Nilai kerajaan ikut fakta, bukan sentimen politik, pesan PM

Nilai kerajaan ikut fakta, bukan sentimen politik, pesan PM

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pimpinannya mungkin tidak sempurna, namun sentiasa cari ruang baiki kelemahan.

anwar ibrahim kakitangan
Hampir 20,000 orang sertai himpunan ‘Turun Anwar’ anjuran pembangkang di Dataran Merdeka semalam, bertujuan desak Anwar Ibrahim letak jawatan sebagai perdana menteri.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta rakyat menilai usaha dan dasar kerajaan berdasarkan fakta, bukan dipengaruhi sentimen politik.

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif, masih ada pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat, lapor Bernama.

“Ini negara bebas, demokratik, cuma kita harus beri penjelasan sebab dalam temu bual (peserta perhimpunan di Dataran Merdeka) itu ada ditanyakan (isu harga) minyak naik, padahal minyak turun. Pelbagai (fakta tidak benar).

“Maknanya, ini hanya sentimen politik, kebencian … tidak ikut fakta. Jadi, kita cadang supaya rakyat menilai mengikut fakta, kalau ada kelemahan kita boleh perbaik,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden PKR Wilayah Persekutuan hari ini.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, setiap inisiatif dilakukan kerajaan mungkin tidak sempurna, namun pihaknya sentiasa mencari ruang untuk membaiki permasalahan yang wujud.

” … saya tidak katakan apa-apa yang kita buat sempurna, tetapi kita sentiasa mendengar dan ubah suai apa-apa yang perlu,” katanya.

Semalam, hampir 20,000 orang menyertai himpunan ‘Turun Anwar’ anjuran pembangkang di Dataran Merdeka, bertujuan mendesak Anwar meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Selain Ahli Parlimen pembangkang, perhimpunan itu turut dihadiri bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Susulan perhimpunan itu, Anwar mengingatkan pesaing politiknya untuk terus berwacana dan menyuarakan kebimbangan mereka di Parlimen, bukan hanya di jalanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.