
Hajiji yang juga ketua menteri Sabah, berkata GRS dan PH telah bersetuju untuk mewujudkan kerjasama pilihan raya bagi PRN, lapor Sinar Harian.
“Setuju (semua lapan komponen GRS). Kita akan teruskan kerjasama antara GRS dan PH seperti yang sedia ada hari ini,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Beliau berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi telah diadakan dan formula asas telah pun dibentuk.
“Tetapi belum dimuktamadkan, hanya beberapa perkara kecil yang perlu dimuktamadkan,” katanya.
PH sebelum ini dilaporkan juga telah bersetuju mengadakan kerjasama pilihan raya dengan Barisan Nasional (BN) Sabah.
Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin berkata gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN itu tetapi hanya akan mempertimbangkan kerjasama selepas keputusan pilihan raya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap ketiga-tiga gabungan itu dapat bekerjasama dalam pilihan raya tersebut.
Awal hari ini, Hajiji berkata perjuangan untuk membina masa depan Sabah tidak boleh dihalang oleh dendam politik dan hasutan pembangkang.
Presiden parti Gagasan Rakyat Sabah itu berkata pembangkang hanya tahu memutar belit fakta mengenai pencapaian kerajaan negeri setakat ini.
“Mereka ini tidak akan pernah menghargai pencapaian kita. Segala usaha kita akan dipandang sepi, malah dicemuh dan diperlekeh,” katanya pada perhimpunan agung Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu, menurut portal berita Sayang Sabah.
Beliau menasihatkan ahli Gagasan Rakyat supaya berhati-hati dengan cubaan menjatuhkan pentadbiran negeri dan menyemai perbalahan dalam GRS.