
Menjelaskan perkara itu ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Raub, timbalan perdana menteri berkata, dalam perjuangan, tidak semua keputusan diambil itu bersifat selesa tetapi mestilah berprinsip.
“Setinggi mana pun kedudukan kita dalam parti atau kerajaan, kita harus sedar bahawa setiap jawatan itu amanah yang wajib dipikul dengan penuh tanggungjawab,” katanya menurut Bernama.
Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata apa yang diperlukan Umno ketika ini ialah kesatuan hati dan semangat perjuangan tinggi serta tidak mudah goyah apabila diuji.
Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya menjadikan kekalahan Umno-BN membentuk kerajaan dalam dua PRU sebelum ini sebagai pengajaran serta titik tolak membina semula kekuatan parti.
“Kita sudah diuji dua kali dalam PRU…cukuplah kita berpecah, bergaduh, ‘tembak sama sendiri’, ada duri dalam daging. Belajarlah daripada kelemahan dahulu betulkan ‘rumah tangga’ Umno dan BN, mudah-mudahan kita akan dominan semula,” katanya.
Pada sidang media, Zahid berkata, Umno akan meneliti sama ada terdapat ahli parti yang menyertai perhimpunan yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.
“Umno sekarang berada dalam kerajaan Madani dan kita harus mengukuh bukan meruntuh kerajaan yang ada sekarang,” katanya.