
Rafizi berkata, beliau bersama pasukannya ‘secara senyap’ mula usaha mencari rakan kongsi bagi semua perusahaan sosial itu sejak Mei lagi.
“Semua dah ada rakan kongsi aset, ekuiti mahupun operasi, dan sekarang dalam proses terakhir untuk dibuka,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Ayuh Malaysia 2025 di Kompleks Mutiara.
Antaranya FlexiMart, sebuah kedai runcit harga berpatutan yang berkonsepkan ‘refil’ di Shah Alam bagi menggalakkan orang ramai membeli yang perlu sahaja.
“Selain itu, kedai makan ‘Kesum’ yang menghidangkan juadah sarapan, tengahari, dan makan malam bawah RM5 akan dibuka di Pandan Indah.
“Kita juga cuba menawarkan bumbung solar untuk keluarga berpendapatan rendah, menerusi perusahaan sosial ‘Suria’ di Petaling Jaya walaupun akui ia mempunyai cabaran,” katanya.
Selain itu, ‘SagaSivik’- program kewarganegaraan mengikut modul untuk menerapkan kesedaran sivil di Setiawangsa dan juga ‘CLIB’ yang menawarkan latihan memasuki alam pekerjaan kepada belia dan lepasan pendidikan tinggi di Ampang.
“Juga ‘PinjamGajet’ di Selayang, dengan menawarkan latihan baik pulih gajet terpakai seperti laptop dan telefon pintar untuk belia, yang kemudiannya disewakan kepada keluarga berpendapatan rendah serendah RM10 setahun,” katanya.
Tambahnya, terdapat juga perusahaan sosial ‘TanamDuit’ di Rembau bagi memupuk pertanian moden atas tanah terbiar,” katanya.
8 Julai lalu, bekas menteri ekonomi itu mengumumkan pembangunan perusahaan sosial melalui platform Ayuh Malaysia bagi membina jaringan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, perusahaan sosial terbabit bermatlamatkan masyarakat tetapi dibiayai operasi perniagaan yang diuruskan dengan cekap dan membina kekuatan kewangan sendiri.