
“Sekiranya ada peluang, saya tak kisah sekiranya jadi menteri pendidikan, cuma mungkin ada orang tak suka,” katanya dalam episod terbaru audio siar Yang Berhenti Menteri semalam.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pendidikan ialah asas kepada perubahan jangka panjang negara, khususnya dalam menghapuskan budaya rasuah, dan reformasi institusi semata-mata tidak mencukupi.
“Ya, ia sebenarnya bermula dengan pendidikan. Sebab itu saya selalu kritik Fadhlina Sidek (menteri pendidikan),” katanya.
“Budaya itu contohnya, jika kita ajar mereka (kanak-kanak) ada model berbeza untuk kejayaan.
“Lebih baik hidup jadi orang biasa yang amanah, ada sivik daripada jadi menteri tetapi dia rompak kiri dan kanan.”
Rafizi juga secara berseloroh berkata, sekiranya memegang portfolio (pendidikan) itu beliau berharap beliau tidak akan diingati dengan dasar kasut hitam.
Beliau merujuk kepada pentadbiran pertama Pakatan Harapan pada 2020 apabila menteri pendidikan ketika itu, Maszlee Malik, mengumumkan pertukaran kasut sekolah daripada warna putih kepada hitam, dengan alasan kasut hitam lebih mudah dijaga.
Langkah itu menerima banyak kritikan dan sindiran di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemerosotan mutu pendidikan negara.
Rafizi berkata beliau menerima portfolio menteri ekonomi kerana ada keterdesakan ketika susulan PRU15 pada 2022 yang menyaksikan parlimen tergantung dan penubuhan kerajaan perpaduan.
Katanya, ketika itu terdapat keperluan segera untuk menstabilkan pasaran dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pengurusan ekonomi kerajaan.
“Tapi anda tak boleh baiki ekonomi jika tak baiki sistem pendidikan,” katanya.