
Tengku Zafrul berkata, pembangunan infrastruktur AI menggunakan teknologi hijau membabitkan pelaburan RM10 bilion itu meliputi pembangunan pusat data AI dan penggunaan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia.
“Paling penting penciptaan model bahasa raya (LLM) berdaulat Malaysia sendiri yang akan meletakkan negara ini sebagai hab dan pusat kecemerlangan AI di Asean.
“YTL juga bakal membina ekosistem AI dengan kerjasama rakan kongsi teknologi, pembekal dan kontraktor tempatan,” katanya di Facebook.
YTL Power adalah anak syarikat kepada YTL Corporation Bhd.
Menurut Tengku Zafrul, perkembangan itu membuktikan setiap perbincangan dan perjumpaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat antarabangsa bukan sekadar ‘sembang kosong’.
“Tetapi, permulaan kepada pelaburan yang bakal mengubah landskap ekonomi dan teknologi negara kita, dari potensi kita jadikan realiti,” katanya.
Pada Disember 2023, Anwar mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power Yeoh Seok Hong bagi membincangkan potensi pelabur dan menjadikan Malaysia sebagai hab AI.