Keputusan tak terus tindakan ke atas Dr M tak langkau peguam negara, kata PM

Keputusan tak terus tindakan ke atas Dr M tak langkau peguam negara, kata PM

Anwar Ibrahim berkata ia adalah keputusan Kabinet walaupun RCI mengenai kedaulatan Batu Puteh mencadangkan sebaliknya.

batu puteh
Sebelum ini, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan telah mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Mahathir. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Batu Puteh tidak melangkaui keputusan peguam negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan, berkata keputusan itu dibuat Kabinet meskipun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan sebaliknya.

“Laporan pasukan khas telah mengusulkan supaya laporan dibuat terhadap Mahathir terhadap pengkhianatan kepada negara dan tindakan susulan diambil.

“Jadi, saya tidak melangkau keputusan peguam negara, ia keputusan Kabinet. Saya telah melihat walaupun kesalahan itu kesalahan khianat yang besar, melihat kepada suasana dan keadaan, kita mengusulkan supaya tidak perlu beliau dibawa ke tengah (peringkat seterusnya),” kata Anwar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025.

Anwar mengulas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan yang mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk perdana menteri ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataannya terhadap Mahathir dan isu Batu Puteh.

Perdana menteri turut menegaskan siasatan polis serta RCI diketuai oleh bekas ketua hakim negara dan pasukan khas, mengusulkan dengan jelas ada kesalahan besar Mahathir dalam isu terbabit.

Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap Mahathir berhubung isu kedaulatan Batu Puteh yang dibangkitkan dalam RCI atas pertimbangan faktor usia.

Perdana menteri berkata, walaupun beliau percaya kesalahan itu wujud dan besar, Jemaah Menteri memutuskan tidak mengambil tindakan lanjut memandangkan Mahathir kini sudah berusia 100 tahun.

Media sebelum ini juga melaporkan, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan telah mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Mahathir.

Tindakan berkenaan merupakan antara yang disyorkan RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.