Anwar terus desak gencatan senjata Thailand-Kemboja

Anwar terus desak gencatan senjata Thailand-Kemboja

Perdana menteri berkata beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari kedua-dua negara dalam usaha menghentikan pertempuran.

Jumlah kematian akibat pertempuran antara kedua-dua negara yang kini memasuki hari ketiga itu meningkat kepada 33 orang. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan terus mendesak agar gencatan senjata dicapai antara Thailand dan Kemboja susulan pertempuran berterusan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.

Anwar berkata beliau mengarahkan Menteri Luar Mohamad Hasan supaya menghubungi rakan sejawatannya dari Thailand dan Kemboja.

“Saya sendiri juga akan menghubungi mereka untuk mendesak gencatan senjata,” katanya selepas menghadiri edisi ke-50 Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Anwar, selaku pengerusi Asean, semalam berkata kedua-dua negara itu telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.

Bagaimanapun, pagi ini beliau berkata: “Nampaknya masih ada tembak menembak.”

Terdahulu hari ini, agensi berita AFP melaporkan angka korban akibat pertempuran antara kedua-dua negara yang kini memasuki hari ketiga itu meningkat kepada 33 orang.

Kementerian Pertahanan Kemboja memaklumkan 13 individu disahkan terbunuh setakat ini, termasuk lapan orang awam dan lima anggota tentera, manakala 71 lagi cedera.

Di Thailand pula, tentera memaklumkan lima anggota mereka terbunuh pada Jumaat, menjadikan jumlah korban di pihak negara itu kepada 20 orang – 14 orang awam dan enam anggota tentera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.