6 pelajar MRSM terlibat buli dibuang sekolah

6 pelajar MRSM terlibat buli dibuang sekolah

Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan diambil susulan siasatan Jawatankuasa Disiplin MRSM dapati enam pelajar Tingkatan Lima itu benar terbabit.

Asyraf Wajdi Dusuki
Pengerusi Mara Dr Asyraf Wajdi Dusuki ingatkan pihak pengurusan Mara supaya tidak layan sebarang rayuan daripada mana-mana pihak berhubung tindakan buang pembuli sebagai pengajaran kepada pelajar lain. (Gambar Bernama)
KUALA BERANG:
Enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka dibuang sekolah selepas didapati terlibat dalam kejadian buli pada Jumaat lepas.

Pengerusi Mara Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu diambil susulan siasatan Jawatankuasa Disiplin MRSM yang mendapati enam pelajar itu benar terbabit dalam kegiatan itu.

Asyraf Wajdi berkata, beliau menerima banyak makluman daripada pengikut di laman sosialnya mengenai perkara tersebut sejak Sabtu lepas dan mengarahkan pihak pengurusan Mara supaya mengemukakan laporan segera.

“Kes ini saya dapat banyak ‘tag’ daripada media sosial. Saya terus minta laporan daripada pihak pengurusan (Mara) dan dimaklumkan berlaku dalam satu MRSM di Melaka,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Umno Hulu Terengganu 2025 di Jenagor hari ini.

“Mereka (enam pelajar) terus dibuang … berkuat kuasa serta-merta (hari ini) walaupun mereka pelajar Tingkatan Lima. Jawatankuasa disiplin dah bersidang dan memang didapati perkara itu berlaku.”

Asyraf Wajdi turut mengingatkan pihak pengurusan Mara supaya tidak melayan sebarang rayuan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut sebagai pengajaran kepada pelajar lain.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan buli atas apa jua alasan.

“Kalau mereka kata kita tidak beri peluang, saya sudah tegaskan pendirian saya sejak hari pertama memegang jawatan sebagai pengerusi Mara,” katanya.

“Apa jua alasan tidak mewajarkan atau menghalalkan perbuatan buli. Soal seteruk mana perbuatan buli itu soal kedua. Kita bukan mahkamah tetapi ‘you touch you go’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.