2 penunggang motosikal maut dalam nahas 3 kenderaan

2 penunggang motosikal maut dalam nahas 3 kenderaan

Kemalangan di Kota Tinggi itu dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki terlanggar bahagian belakang lori.

kemalangan
Mangsa berusia 18 dan 19 tahun disahkan maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, kata Ketua Polis Kota Tinggi Yusof Othman. (Gambar PDRM)
JOHOR BAHRU:
Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 60.5 Jalan Sungai Rengit, Kota Tinggi awal pagi tadi.

Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata kedua-dua lelaki berusia 18 dan 19 tahun itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kemalangan membabitkan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan sebuah lori yang masih belum dikenal pasti, kira-kira 1.24 pagi.

“Kemalangan didapati berlaku apabila kedua-dua motosikal terbabit dipercayai terlanggar bahagian belakang lori itu, (bagaimanapun) kes masih dalam siasatan.

“Mayat mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan manakala pemandu lori berkenaan pula masih belum dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusuf memohon orang awam yang melihat kejadian agar tampil memberikan maklumat dan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Fairuz Abd Malek melalui talian 012-7415886.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.