2 pegawai CIQ BSI ditahan terlibat kegiatan ‘pasport terbang’

2 pegawai CIQ BSI ditahan terlibat kegiatan ‘pasport terbang’

Pegawai itu ditahan selepas beberapa kemasukan data pelawat meragukan dikesan di kaunter zon kereta dan motosikal.

rampasan
Beberapa telefon bimbit, pasport negara asing dan wang tunai yang dirampas dari dua pegawai penguatkuasa di Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar di Johor. (Gambar AKPS)
PETALING JAYA:
Dua pegawai penguatkuasa di Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan ‘pasport terbang’.

Pegawai yang bertugas di kaunter zon kereta dan zon motosikal itu dibuat oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) BSI selepas satu pemantauan terhadap kumpulan yang bertugas.

AKPS dalam kenyataan berkata, penahanan pertama dibuat selepas mengesan beberapa kemasukan data pelawat yang meragukan melalui ID pengguna seorang pegawai yang bertugas di kaunter zon kereta.

“Pemeriksaan yang dijalankan di kaunter kereta menemukan wang tunai berjumlah RM2,800 serta dua telefon bimbit dalam simpanan pegawai terbabit.

“Soal-siasat yang dijalankan membawa kepada penemuan sejumlah 11 pasport China dan tiga pasport Indonesia dalam sebuah beg hitam yang disembunyikan di atas siling kaunter,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, seorang penyelia di kaunter motosikal pula ditahan selepas didapati melepaskan ralat terhadap data pelawat bermasalah.

Katanya, pemeriksaan di kaunter penyelia zon motosikal menemukan dua telefon bimbit yang kemudiannya dirampas untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua pegawai tersebut diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.