Seorang lagi pelajar maut nahas 15 motosikal di Seremban

Seorang lagi pelajar maut nahas 15 motosikal di Seremban

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kemalangan itu.

kemalangan konvoi
Keadaan di KM262 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Seremban selepas kemalangan membabitkan 15 motosikal awal pagi semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Angka korban nahas 15 motosikal di KM262 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Seremban meningkat kepada empat orang, selepas seorang lagi mangsa meninggal dunia hari ini.

Sinar Harian melaporkan Muhammad Iman Rusidi, 19, penuntut Kolej Poly-Tech Mara Bangi disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Seremban, Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan masih diteruskan dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kemalangan itu.

Semalam, media melaporkan kemalangan sekitar 2.30 pagi Khamis itu membabitkan 15 motosikal ditunggang berkumpulan di lorong tengah dan kanan dari arah Senawang menghala Kuala Lumpur.

Setibanya di lokasi kejadian, tiga motosikal di depan bergesel dan melanggar sesama sendiri menyebabkan penunggangnya terjatuh atas jalan raya.

Akibatnya, 12 motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar tiga motosikal terbabit.

Semua penunggang terjatuh atas jalan raya, dengan sebuah kereta dan sebuah lori turut dilanggar sebahagian daripada 12 motosikal itu pada bahagian belakang serta sisi kenderaan.

Afkar Fitri Afendi, 19, Aliff Syahmi Abdul Hakim, 18, dan Azib Sulaiman, 20, maut di lokasi kejadian.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Tiew Chuan Jie 014-9668399 atau ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.