
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata kerajaan Madani mempertahankan kebebasan berhimpun termasuk untuk mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
“Kita tidak boleh kembali kepada zaman yang menindas demokrasi sehingga Parlimen pun ditutup.
“Lebih penting, pengangkutan awam kita harus terus berfungsi agar majoriti rakyat boleh menjalankan urusan hujung minggu tanpa diganggu oleh perhimpunan pembangkang.
“Saya menggalakkan peserta perhimpunan esok untuk menggunakan pengangkutan awam supaya kesesakan lalu lintas di ibu kota dapat diminimakan,” katanya.
Satu perhimpunan besar anjuran Perikatan Nasional dijangka berlangsung di Kuala Lumpur esok bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Terdahulu hari ini, KTMB menafikan mengeluarkan arahan penutupan stesen komuter Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kuala Lumpur seperti yang didakwa dalam satu notis tular di media sosial.
Menjawab pertanyaan seorang netizen di ruangan komen di satu hantaran Facebook rasminya, KTMB berkata tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihak pengurusan.
Notis tular tersebut mendakwa bahawa stesen KTM BNM dan Kuala Lumpur akan ditutup dari jam 9 pagi hingga 5 petang esok.