Pempengaruh, adik ‘bersandiwara’ dipenjara sebulan

Pempengaruh, adik ‘bersandiwara’ dipenjara sebulan

Sebelum ini media melaporkan kehilangan Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin selepas kereta Perodua Axia dipandunya terjunam dalam sungai.

Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin
Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adiknya Tengku Abdul Aziz dipenjara sebulan dan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pempengaruh dan adik lelaki yang membuat laporan palsu berhubung kehilangannya di Sungai Tui, Lenga, Johor, minggu lalu masing-masing dipenjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Muar hari ini.

Tertuduh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Suzana Mokhtar selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan, lapor Harian Metro.

Mahkamah turut memerintahkan Tengku Nizaruddin dipenjara tiga bulan dan adiknya pula enam bulan jika mereka gagal membayar denda dengan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kehilangan Tengku Nizaruddin atau dikenali sebagai Ija yang merupakan peniaga dan pemilik kedai aksesori kenderaan, selepas kereta Perodua Axia dipandunya terjunam dalam sungai.

Bagaimanapun, polis mengesahkan kehilangan itu hanya sandiwara dirancang demi kepentingan peribadi.

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, dipetik berkata siasatan mendapati dia dipercayai menenggelamkan kereta isterinya di sungai tersebut sebelum melarikan diri ke negara jiran.

Beliau berkata, adiknya membuat laporan 15 Julai lalu dipercayai bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.