
Menjawab pertanyaan netizen di ruangan komen salah satu hantaran Facebook rasminya, KTMB berkata tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihak pengurusan.
“Sebarang maklumat terkini akan dikongsikan dari masa ke semasa melalui saluran rasmi KTMB,” kata pentadbir Facebook KTMB.
Notis tular tersebut mendakwa bahawa stesen KTM BNM dan Kuala Lumpur akan ditutup dari jam 9 pagi hingga 5 petang esok.
“Tren komuter tidak akan berhenti di stesen-stesen ini pada waktu penutupan tersebut,” kata notis itu.
Satu perhimpunan besar anjuran Perikatan Nasional dijangka berlangsung di Kuala Lumpur esok, bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Peserta akan berkumpul di Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan kompleks membeli-belah Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Penganjur menjangkakan kehadiran sehingga 300,000 orang, meskipun protes serupa di Shah Alam awal bulan ini hanya menarik lebih 300 peserta.
Polis menasihatkan peserta perhimpunan agar mematuhi undang-undang dan berhimpun secara aman.
Semalam, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Usuf Jan Mohamad berkata tiada jalan akan ditutup di ibu negara menjelang perhimpunan ‘Turun Anwar’ itu.