Gencatan: Thailand mahu komitmen jelas dari Kemboja

Gencatan: Thailand mahu komitmen jelas dari Kemboja

Pemangku perdana menteri Thailand bercakap dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menawarkan diri menjadi orang tengah.

Phumtham Wechayachai
Kemboja mesti terlebih dahulu menunjukkan komitmen yang jelas dan ikhlas, kata pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai. (Gambar EPA Images)
BANGKOK:
Thailand tidak membantah cadangan gencatan senjata berhubung pertempuran sempadan yang sedang berlaku dengan Kemboja, namun mahu penjelasan lebih lanjut mengenai terma pelaksanaan, kata pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai.

Phumtham berkata beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menghubunginya pada Khamis dan menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi memudah cara gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

Thailand, katanya, bersetuju secara prinsip terhadap tawaran tersebut namun menekankan Kemboja mesti terlebih dahulu menunjukkan komitmen yang jelas dan ikhlas.

“Kami tidak membantah, tetapi untuk gencatan senjata berlaku, mesti ada kejelasan. Kami telah berusaha untuk merealisasikannya sejak awal, tetapi masih belum berhasil,” kata Phumtham pada sidang media mengenai situasi sempadan Thailand-Kemboja.

Beliau meminta Anwar supaya memastikan terdapat komitmen kukuh dan jaminan bahawa insiden serupa tidak akan berulang.

“Barulah kita boleh pertimbang langkah seterusnya. Buat masa ini, pasukan tentera kami masih berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya,” katanya.

Pada Khamis, Anwar selaku Pengerusi Asean menghubungi Phumtham dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, merayu kedua-dua pihak melaksanakan gencatan senjata segera dan kembali ke meja rundingan secara aman bagi menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan.

Anwar menyatakan bahawa Malaysia bersedia membantu dan memudah cara proses ini selaras dengan semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam Asean.

Pasukan tentera Thailand dan Kemboja bertempur awal Khamis di kawasan sempadan yang dipertikaikan, dengan kedua-dua pihak saling menuduh mencetuskan pusingan keganasan terbaharu itu — yang semakin memuncak sejak insiden pada 28 Mei berhampiran kawasan Preah Vihear yang menyebabkan seorang askar Kemboja terbunuh.

Kedua-dua negara jiran itu telah lama terperangkap dalam pertikaian diplomatik berhubung sempadan yang belum selesai sejak lebih satu abad lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.