
Pengerusi ERC Ab Rashid Ab Rahman berkata, Muhyiddin ketika menerima laporan ERC itu di pejabat perdana menteri di bangunan Parlimen memberi jaminan untuk meneliti dan mengkaji semua syor dikemukakan.
“ERC tidak menetapkan sebarang tempoh untuk kerajaan melaksana syor yang dikemukakan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Namun, daripada semua syor berkenaan, katanya 32 dapat dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun jika diluluskan kerajaan manakala selebihnya mengambil masa antara 5 dan 10 tahun.
Beliau berkata, antara syor dikemukakan adalah pengasingan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada SPR, dengan ia diasingkan kepada 3 badan.
Ab Rashid berkata, SPR akan kekal sebagai badan utama menguatkuasakan undang-undang pilihan raya, sekretariat pilihan raya akan menjalankan proses pilihan raya, manakala Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) pula akan melaksana urusan khas persempadanan pilihan raya.
Syor lain dalam laporan ERC itu adalah penetapan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri 6 bulan sebelum tarikh sebenar, penetapan dasar seorang calon hanya boleh bertanding bagi 1 kerusi dan memastikan keseimbangan pemilih dengan memperkenalkan kategori dan kriteria bagi bahagian pilihan raya.
ERC ditubuhkan pada Ogos 2018 untuk mengkaji setiap aspek berkaitan dengan sistem, proses serta undang-undang pilihan raya sedia ada supaya dapat ditingkatkan setaraf dengan amalan demokrasi maju di peringkat antarabangsa.