
Pengarah Imigresen Johor, Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi dijalankan hasil risikan selepas menerima maklumat awam lambakan warga asing bekerja tanpa permit atau pas sah di lokasi terbabit.
Beliau berkata, 664 warga tempatan serta asing diperiksa, manakala tangkapan melibatkan warga China, Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Nepal.
“Tangkapan melibatkan 129 lelaki dan empat wanita warga China, 84 lelaki Bangladesh serta masing-masing dua lelaki Indonesia, Pakistan dan Nepal yang berusia 21 hingga 63 tahun.
“Turut ditahan lelaki dan wanita warga tempatan yang juga pengurus serta pegawai sumber manusia di tapak projek itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama, iaitu tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat atau dibatalkan.
Rusdi berkata, siasatan turut dilakukan mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, iaitu salah guna pas lawatan sosial (PLS) serta Peraturan 39(b) akta sama membabitkan kesalahan melanggar syarat pas.
“Dua warga tempatan yang ditahan disiasat bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing,” katanya sambil menambah enam notis untuk hadir di pejabat bahagian penguat kuasa dikeluarkan kepada individu sepanjang operasi itu bagi membantu siasatan.