Suami isteri didakwa edar kanabis lebih 67kg

Suami isteri didakwa edar kanabis lebih 67kg

Pasangan itu dituduh mengedar di tepi jalan Padang Sembilan, Kuala Krai.

Tiada pengakuan direkodkan di Mahkamah Majistret Kuala Krai daripada pasangan itu memandangkan kes berada di bawah kuasa Mahkamah Tinggi. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Krai atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis kanabis serta methamphetamine, dua minggu lalu.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada Wan Muhamad Aziem Ashraf Wan Mustafa, 31, dan isterinya Wan Matraf Azlinda Wan Mat, 49, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias kerana kes berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa mengedar dadah jenis kanabis 67.75kg, di tepi jalan Padang Sembilan Kuala Krai, kira-kira 4 pagi, 11 Julai, lapor Bernama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan hingga 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 15.1g di lokasi, waktu, dan hari sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan maksimum sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 23 Sept depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.