
Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas Bunyamin Sukiman, 42, dan Yorlini Abdullah Umar, 32, mengaku bersalah menyebabkan kecederaan pada mangsa di sebuah rumah di Jalan Ampang pada 6 petang, 16 Julai lalu, lapor Utusan Malaysia.
Zaki mengarahkan Bunyamin, yang juga bapa tiri mangsa menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapan iaitu 18 Julai, dan ibu kandung mangsa pula berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal bayar denda.
Selain itu, kedua-dua tertuduh turut diperintahkan bon berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran serta menjalankan khidmat masyarakat selama 12 bulan.
Mengikut fakta kes, kejadian disedari selepas guru penolong kanan hal ehwal murid di sekolah mangsa belajar memanggil kanak-kanak itu berhubung aduan kononnya pelajar itu memotong tudung pelajar lain.
Sewaktu siasatan oleh pihak sekolah, mangsa mendedahkan dipukul dan telinganya dipulas oleh ibu bapanya. Mangsa turut memberitahu ditumbuk oleh bapa tirinya.
Selain itu, mangsa memberitahu tangannya diletakkan ke atas lantai sebelum kulit durian dijatuhkan ke atas tangan tersebut. Tangannya yang terluka kemudian direndam ke dalam air garam suam.
Tidak cukup dengan itu, tangan mangsa turut diikat menggunakan pita pelekat dan dibiarkan sehingga keesokan harinya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur, memohon hukuman berat dikenakan kerana mangsa merupakan kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi dan perbuatan tertuduh adalah zalim.
“Ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak, bukan tempat untuk melepaskan geram. Hukuman berat perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.
Peguam bela kedua-dua tertuduh, Simret Singh merayu hukuman minimum atas alasan Yorlini tidak bekerja dan hanya bergantung kepada Bunyamin yang bekerja sebagai penasihat jualan kenderaan.