Penguat kuasa disyaki terlibat ‘counter setting’ ditahan

Penguat kuasa disyaki terlibat ‘counter setting’ ditahan

Turut dirampas wang tunai RM8,391.45, tiga peranti komunikasi dan beberapa catatan nombor pasport.

Suspek pada mulanya diserahkan kepada Unit Integriti AKPS KLIA untuk siasatan dalaman sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai penguat kuasa ditahan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini kerana disyaki terlibat kegiatan ‘counter setting’.

Susulan penahanan kira-kira 9.20 pagi, Unit Pemantau dan Unit Integriti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas wang tunai RM8,391.45, tiga peranti komunikasi, dan beberapa catatan nombor pasport yang ditemui dalam simpanan pegawai tersebut.

Terdahulu, AKPS mengesan tindakan mencurigakan pegawai terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter pemeriksaan masuk.

Wang tunai yang dirampas daripada pegawai tersebut.

“Siasatan awal mendapati catatan yang ditemui mengandungi empat digit terakhir nombor pasport dipercayai berkaitan aktiviti mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah.

“Pegawai itu pada mulanya diserahkan kepada Unit Integriti AKPS KLIA untuk siasatan dalaman sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

AKPS berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk pelanggaran integriti terutama melibatkan keselamatan pintu masuk negara dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.