Pembangunan Kg Sungai Baru mula tahun depan, kata Dr Zaliha

Pembangunan Kg Sungai Baru mula tahun depan, kata Dr Zaliha

Menteri wilayah persekutuan berkata projek itu sudah dapat kelulusan merancang susun atur dan mendirikan bangunan.

Pembangunan semula Kampung Sungai Baru mula dicadangkan pada 2016, namun tertangguh disebabkan isu perundangan, pertikaian pampasan dan ketidaksepakatan dalam kalangan penduduk.
PETALING JAYA:
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang lama tertangguh dijangka bermula pada suku pertama 2026, kata Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Zaliha berkata kebenaran merancang susun atur (KMS) dan kebenaran merancang pendirian bangunan projek tersebut sudah diluluskan dan pemaju kini sedang mendapatkan kelulusan teknikal lain daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi-agensi berkaitan.

“Majlis perasmian projek dijangka akan diadakan dalam masa terdekat, manakala pelaksanaan pembinaan dijangka akan dimulakan pada suku pertama 2026,” katanya bagi soalan Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang meminta perkembangan mengenai pembangunan semula itu.

Garis masa baharu ini menunjukkan kelewatan daripada komitmen yang dinyatakan oleh Zaliha pada 2024, apabila beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa pembinaan akan bermula pada suku pertama 2025.

Pembangunan semula Kampung Sungai Baru mula dicadangkan pada 2016, namun tertangguh disebabkan isu perundangan, pertikaian pampasan dan ketidaksepakatan dalam kalangan penduduk.

Zaliha turut memaklumkan bahawa permohonan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dikemukakan oleh pemaju pada Oktober 2020 dan kemudiannya diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan.

Kelulusan pengambilan tanah melibatkan 110 pegangan, termasuk 37 lot rumah teres, 72 unit rumah pangsa dan sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad, dibuat pada Jun 2021 di bawah Seksyen 4 dan 8 akta tersebut bagi tujuan kediaman dan komersial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.