
Pengerusi M Ali berkata, langkah itu kedengaran tidak logik dan tidak praktikal, menyoal apakah peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang menyelia JWP jika cadangan tersebut dilaksanakan.
“Jika penyusunan semula ini berlaku, ia akan menjadi perdana menteri selaku menteri Wilayah Persekutuan, Zahid menyelia JWP yang bermakna secara tidak langsung turut menyelia Zaliha yang memegang jawatan ketua JWP.
“Oleh itu, perkara ini sememangnya amat membimbangkan,” katanya kepada FMT.
JWP bertanggungjawab merancang, melaksana, memantau, serta menilai kemajuan dan pembangunan di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
Ia menaungi enam agensi iaitu tiga pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPJ), Perbadanan Labuan (PL); serta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
Ia turut menyalurkan bantuan melalui program pembasmian kemiskinan bandar, seperti bantuan bina baru rumah dan baik pulih rumah, bantuan sewa rumah, program menjana pendapatan melalui keusahawanan, program pembangunan minda insan, dan program bina upaya di bandar.
Kelmarin, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dilapor meluluskan usul mencadangkan demikian, atas alasan hala tuju, penyelarasan dasar, dan pelaksanaan projek penting bagi nadi-nadi itu ‘kekaburan’ sejak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dibubarkan pada 2022.
Ketuanya, Aliff Firdaus Abd Hadi, mendakwa DBKL, PPJ dan PL, serta Yayasan Wilayah, iaitu sebuah yayasan peringkat negeri, kini bergerak secara berasingan ‘tanpa arahan dasar yang seragam, sekali gus menjejaskan keberkesanan pentadbiran’, lapor Umno Online.
Save KL bagaimanapun berkata, kerajaan mesti memberikan justifikasi untuk melaksanakan langkah itu, kerana ia akan melibatkan kos tambahan dan berpotensi menyebabkan ketidakcekapan.
Ali turut menarik perhatian pada tanggungjawab digalas Zahid, antaranya portfolio timbalan perdana menteri, menteri kemajuan desa dan wilayah, pengerusi Jawatankuasa TVET Negara, dan mewakili perdana menteri apabila keadaan memerlukan.
“Terutama sekali, pembangunan luar bandar peranan yang sangat aktif,” kata Ali.
KWP ditubuhkan pada 1979 untuk menyelaras pembangunan Kuala Lumpur dengan Lembah Klang. Ia dimansuhkan pada 1987 dengan peranannya diambil alih Jabatan Pembangunan Wilayah Persekutuan. KWP ditubuhkan semula pada 2004.
Pada 2022, KWP distruktur semula, dikenali sebagai JWP dan diletakkan bawah JPM.
Sementara itu, Azmi Hassan, ahli geostrategi di Akademi Nusantara, berkata meletakkan JWP bawah timbalan perdana menteri akan menggambarkan kepentingan Wilayah Persekutuan.
“Dari segi strategiknya Wilayah Persekutuan penting untuk pembangunan negara,” katanya.