
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, pihaknya akan berhubung dengan dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bagi mendapatkan pandangan sebelum tindakan lanjut diambil.
“Ya, kami berhubung dengan AFF dan AFC. Kami tidak mengambil ringan isu ini dan tidak menyokong sebarang perbuatan sedemikian,” kata Presiden Mohd Joehari Mohd Ayub menurut Berita Harian.
Sebelum ini, kecoh di media sosial mengenai tindakan penyokong Indonesia yang mengangkat bendera Malaysia secara terbalik, yang mana perbuatan itu harus dipandang serius oleh badan induk bola sepak Asia dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
Insiden membalikkan Jalur Gemilang dikatakan berlaku ketika Indonesia menentang Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Asean Bawah 23 Tahun, di Stadium Gelora Bung Karno, Isnin lalu.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dengan Malaysia memerlukan kemenangan untuk layak ke peringkat kalah mati.