4 ditahan kes penjawat awam diserang lebih 10 lelaki

4 ditahan kes penjawat awam diserang lebih 10 lelaki

Polis berkata mangsa mendakwa dipukul menggunakan gelas kaca dan dia tidak tahu punca diserang.

handcuff
Ketua Polis Tawau Jasmin Hussin berkata empat lelaki berusia 17 hingga 29 tahun ditahan semalam, dengan dua daripadanya memiliki rekod jenayah lampau.
PETALING JAYA:
Empat lelaki ditahan selepas seorang penjawat awam cedera dipukul sekumpulan lelaki di sebuah restoran dekat Jalan St Patrick, Tawau.

Mangsa berusia 30 tahun diserang lebih 10 individu, termasuk beberapa individu dikenalinya, ketika sedang minum di restoran itu pada 12.40 tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Tawau, Jasmin Hussin, berkata mangsa turut mendakwa dipukul menggunakan gelas kaca dan seorang individu tidak dikenali memegang sebilah pisau.

“Mangsa yang bertugas di salah sebuah jabatan pihak berkuasa tempatan itu tidak tahu punca dia diserang dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, polis kemudian menahan empat lelaki berusia 17 hingga 29 tahun secara berasingan semalam.

Menurutnya, seorang lelaki 27 tahun dengan empat rekod jenayah lampau, termasuk berkaitan dadah dan khianat, ditahan di Jambatan 3 Melati, Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut pada 11.30 pagi.

Jasmin berkata, suspek kedua berusia 29 tahun ditahan di Pusat Komersil Takada pada 12.15 tengah hari, manakala seorang remaja 17 tahun dan lelaki 26 tahun ditahan pada 12.45 tengah hari.

Katanya, seorang daripada tiga suspek itu memiliki lima rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.