
Majistret Yong Ching Hong mengeluarkan perintah tahanan reman hingga 28 Julai itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek iaitu seorang lelaki dan wanita masing-masing berumur 20 dan 30-an disyaki telah bersubahat melakukan perbuatan tersebut.
“Penahanan kedua-dua suspek adalah susulan lima tangkapan yang dilakukan baru-baru ini… kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah kira-kira RM200,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada kontraktor untuk kerja-kerja membaik pulih laluan pejalan kaki, pagar dan membina semula masjid,” katanya.
Sumber juga memaklumkan mereka ditahan antara 7 hingga 8 malam tadi selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM di sini.
Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 selain kemungkinan terdapat tangkapan lagi dalam masa terdekat.
Semalam, lima individu termasuk jurutera PBT ditahan reman tujuh hari sehingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan kes yang sama.