PGA rampas e-sisa lebih RM31 juta di Perak

PGA rampas e-sisa lebih RM31 juta di Perak

Tiga lelaki tempatan berusia 36 hingga 70 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

sisa ewaste
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta Shahrum Hashim berkata kilang haram itu disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan e-sisa secara haram menggunakan peralatan khas dan tanpa kelulusan pihak berkuasa. (Gambar Bernama)
IPOH:
Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sisa elektronik (e-sisa) bernilai RM31,337,000 dalam serbuan ke atas sebuah kilang haram dalam kawasan ladang kelapa sawit di Parit, semalam.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Shahrum Hashim, berkata 81 bongkah e-sisa seberat 105,300kg, 5,000kg arang batu, dua pacuan empat roda, sebuah lori treler dan sebuah bangunan pemprosesan berkeluasan 8,400 kaki persegi dirampas.

“Hasil siasatan mendapati kilang haram yang terletak kira-kira 5km dari jalan utama itu disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan e-sisa secara haram menggunakan peralatan khas dan tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa.

“Operasi dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Majlis Daerah Perak Tengah serta Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah itu turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 36 hingga 70 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 18, 19, 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 serta Seksyen 127 Kanun Tanah Negara.

Shahrum berkata, pihaknya akan mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak menjalankan kegiatan itu secara haram, khususnya di Perak.

“Masyarakat atau pengguna diseru menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti menyalahi undang-undang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.