Mahkamah dengar permohonan Stanley Thai sekat liputan media perbicaraan kes fitnah

Mahkamah dengar permohonan Stanley Thai sekat liputan media perbicaraan kes fitnah

Mahkamah Tinggi berkata penangguhan diberikan demi keadilan, namun memberi jaminan permohonan Stanley Thai untuk pendengaran tertutup akan diputuskan dengan segera.

Pengasas bersama Supermax, Stanley Thai dan Tan Bee Geok berkahwin pada 1987, namun kini sedang melalui proses perceraian.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memutuskan akan mendengar permohonan pengasas Supermax, Stanley Thai, untuk mengecualikan media dan orang awam daripada menghadiri perbicaraan kes fitnah berprofil tinggi difailkan isterinya yang terpisah, Tan Bee Geok, sebelum perbicaraan sebenar dimulakan.

Pesuruhjaya Kehakiman Eddie Yeo berkata adalah penting untuk mahkamah memelihara kepentingan keadilan dan menegaskan undang-undang memberi budi bicara kepada mahkamah dalam meluluskan penangguhan.

“Permohonan dalam Lampiran 176 (permohonan perintah perlindungan) hendaklah didengar dengan segera, dengan masa mencukupi diberikan kepada kedua-dua pihak untuk mengemukakan hujahan mereka,” kata Yeo.

Beliau mengarahkan Tan untuk memfailkan afidavit bantahan terhadap permohonan itu selewat-lewatnya pada 30 Julai, manakala Thai perlu memfailkan jawapannya pada 8 Ogos.

Kedua-dua pihak juga diarahkan untuk menyerahkan hujahan bertulis mereka secara serentak pada 13 Ogos dan jawapan balas tujuh hari kemudiannya.

Permohonan itu ditetapkan untuk pendengaran pada 19 September.

Yeo turut menolak satu lagi permohonan penangguhan difailkan oleh Thai dua hari lalu tanpa sebarang perintah kos.

Perbicaraan yang pada asalnya dijadualkan bermula hari ini telah ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada permohonan bertarikh 11 Julai, yang bertujuan menyekat akses media dan orang awam atas alasan kebimbangan terhadap privasi dan reputasi pihak terlibat.

Tan, 64, pengasas bersama syarikat pengeluar sarung tangan terkemuka itu, menyaman Thai atas beberapa kenyataan didakwa dibuat kepada ahli keluarga dan rakan-rakan tiga tahun lalu, yang menurutnya bertujuan memalukannya sebagai seorang ibu, ahli keluarga dan pemimpin korporat.

Thai, 65, berhujah perbicaraan itu melibatkan isu kekeluargaan yang sensitif dan tidak membabitkan kepentingan awam.

Beliau juga memohon agar transkrip mahkamah dirahsiakan dan semua penulis transkrip menandatangani perjanjian tidak mendedahkan maklumat (NDA).

Permohonan Thai menimbulkan persoalan undang-undang baharu: Bolehkah seorang defendan dalam kes fitnah yang dituduh mencemarkan reputasi awam plaintif, mengehadkan akses orang ramai kepada prosiding bertujuan memulihkan reputasi tersebut?

Difahamkan juga Thai akan memanggil beberapa individu terkenal sebagai saksi, termasuk seorang bekas pemain badminton kebangsaan, seorang tokoh perniagaan ternama dan pengurus kepada seorang artis antarabangsa terkenal.

Beliau tidak menamakan saksi-saksinya, tetapi memberitahu salah seorang daripada mereka bakal berkahwin dan tidak mahu kisah hubungan lamanya didedahkan kepada umum.

Permohonan difailkan oleh firma guaman Thai, Shearn Delamore & Co, turut merangkumi langkah perlindungan lain, termasuk perintah semua transkrip mahkamah kekal sulit dan hanya boleh diakses oleh pihak terlibat serta peguam masing-masing.

Semua penulis transkrip juga diminta menandatangani perjanjian tidak mendedahkan maklumat.

Thai diwakili peguam G Rajasingam, manakala Tan diwakili oleh peguam S Ravenesan.

Thai dan Tan memiliki Supermax Holdings Sdn Bhd secara bersama, iaitu pemegang saham utama dalam Supermax Corporation Berhad, salah satu pengeluar sarung tangan getah terkemuka dunia.

Mereka berkahwin pada tahun 1987, namun hubungan mereka mula retak selepas berlaku pertikaian dan dakwaan daripada kedua-dua belah pihak.

Pada tahun 2022, Tan memohon pemisahan secara kehakiman, manakala Thai memfailkan permohonan cerai pada April tahun lalu. Prosiding tersebut masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.