Lelaki Pakistan mengaku tak salah liwat remaja, budak

Lelaki Pakistan mengaku tak salah liwat remaja, budak

Muhammad Hassan didakwa liwat remaja usia 19 tahun dan kanak-kanak 15 tahun, selain serangan seksual ke atas dua lagi kanak-kanak.

shah alam court
Tertuduh berusia 24 tahun juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana merompak wang tunai RM230 milik remaja berusia 19 tahun.
PETALING JAYA:
Lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan liwat, amang seksual fizikal, dan merompak remaja dan kanak-kanak, antara April hingga Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hassan, 24, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Urdu di hadapan Hakim Norazlin Othman, lapor Berita Harian.

Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan luar tabii terhadap remaja lelaki berusia 19 dan 15 tahun tanpa kerelaannya.

Kesalahan itu dilakukan pada 18 April dan 26 Jun dalam hutan dan dewan di Seksyen 27, Shah Alam masing-masing pada 1.30 petang dan 10.05 malam.

Justeru dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebatan.

Dia juga didakwa merompak wang tunai RM230 milik remaja berusia 19 tahun dan dengan sengaja mengugut untuk mencederakan mangsa ketika mahu melarikan diri, lapor Berita Harian.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.

Dalam prosiding sama, dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 13 tahun, pada 27 Mei dan sekitar Jun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di taman permainan di Seksyen 28 dan kawasan semak berdekatan sebuah sekolah di Seksyen 27, Shah Alam.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal dan Ruthra Raj Selvarajoo, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hassan merayu mahkamah melantik peguam untuknya memandangkan tidak mempunyai kenalan atau keluarga di negara ini.

Sebutan semula pada 23 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.