
Pengumuman kerajaan mencakupi empat perkara penting iaitu bantuan RM100 Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sekali beri kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas, kenaikan seganda peruntukan bagi program Jualan Rahmah, penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, dan penangguhan kenaikan kadar tol 10 lebuh raya yang dijadualkan tahun ini.

Rasidi Khosim, seorang pekerja gig berusia 42 tahun, berkata penurunan harga petrol itu sesuatu yang dinanti-nantikan.
“Semua orang tunggu harga minyak turun, kali ini ia betul-betul turun. Walaupun sedikit tapi tetap bermakna,” katanya kepada FMT.
“Bantuan Rahmah pun makin banyak. Bolehlah kami beli barang dapur dengan harga lebih rendah.”

Peniaga gerai makanan, Muhammad Izzudin Mohd Hatta, 30, berkata langkah kerajaan ini begitu bermakna baginya yang bergelut menyediakan kehidupan untuk keluarga.
“Sebagai rakyat biasa, kami memang harap bantuan begini diteruskan. Untuk keluarga B40 macam kami, bantuan yang cepat dan terus sampai sangat membantu,” katanya.

Muhammad Ammirul Syafa Azmi, 33, yang menggajikan tiga pekerja berkata langkah ini akan mengurangkan kos sehariannya.
“Memang rakyat sekarang sangat perlukan bantuan. Tapi bila kerajaan umum macam ni, sekurang-kurangnya adalah juga sesuatu. Alhamdulillah,” katanya.

Siti Hanisah Roslan, 27, harap kerajaan terus cakna dan menambah baik pelan bantuan.
“Kami faham keadaan ekonomi negara dan dunia pun tidak menentu. Kami boleh tunggu ekonomi kembali pulih, tapi biarlah penantian itu berbaloi,” katanya yang bekerja sendiri.