Guna saluran khas suara tak puas hati, bukan sertai himpunan, kata bekas mufti

Guna saluran khas suara tak puas hati, bukan sertai himpunan, kata bekas mufti

Bekas mufti Pahang Abdul Rahman Osman menasihatkan rakyat tidak menjatuhkan maruah pemerintah secara terbuka.

Bekas mufti Pahang Abdul Rahman Osman berkata Islam mewajibkan umatnya mentaati pemerintah, selagi pemimpin yang menerajui kerajaan itu tidak membawa rakyat kepada kekufuran. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Bekas mufti Pahang, Abdul Rahman Osman menyarankan rakyat menyuarakan rasa tidak puas hati melalui saluran khusus, bukannya menyertai himpunan bagi menjatuhkan maruah pemerintah secara terbuka.

Beliau berkata, Islam mewajibkan umatnya mentaati pemerintah, selagi pemimpin yang menerajui kerajaan itu tidak membawa rakyat kepada kekufuran.

“Tapi, kalau pemerintah itu mengajak rakyat kepada kekufuran sehingga merosakkan agama Islam, (kita boleh bantah),” katanya kepada FMT mengulas gesaan untuk rakyat menyertai himpunan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

“Tetapi, kita sendiri tidak jelas lagi sama ada kerajaan hari ini melakukan kekufuran atau tidak. Mungkin orang politik berpandangan begitu, tetapi bukan semua masyarakat awam nampak (ada kekufuran itu).”

Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya menyifatkan penyertaan rakyat dalam himpunan itu sebagai “tanggungjawab moral dan agama” bagi menyuarakan kebenaran di depan pemerintah yang didakwa gagal mentadbir negara.

Abdul Rahman berkata Islam mengajak umatnya melakukan kebaikan dan menjaga kesucian agama.

“Yang mana tak boleh dijaga oleh individu, mesti dijaga melalui sebuah kerajaan dan kerajaan mesti memandang soal agama Islam sebagai perkara penting.

“Kita bernegara hendaklah mengikut cara Rasulullah. Kalau sebuah negara belum jadi negara Islam, kita kena bawa negara ke arah itu. Bukan dari segi kebendaan saja, tetapi Islam itu perlu dimartabatkan oleh pemerintah.”

Beliau menasihatkan individu, khasnya beragama Islam yang mahu menyertai himpunan Sabtu ini tidak bertindak melampaui batas dan menjaga adab sebagai Muslim, termasuk tidak merosakkan harta benda awam, mencetuskan huru-hara serta mendatangkan kecederaan.

“Kalau kita nak keadaan lebih baik, kita kena pastikan apa yang kita nak buat itu tidak menjadi lebih teruk daripada keadaan sekarang. Jangan sampai berlaku begitu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.