Chow alu-alukan bantuan RM100, tetapi harap penyelesaian lebih holistik

Chow alu-alukan bantuan RM100, tetapi harap penyelesaian lebih holistik

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, rakyat inginkan bentuk bantuan lebih komprehensif untuk ringan kos sara hidup.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow Chow berkata, bantuan tunai RM100 bawah SARA tetap dihargai, maklum ia akan menelan belanja Putrajaya berbilion-bilion ringgit. (Gambar Johnshen Lee)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengalu-alukan bantuan tunai sekali bayar RM100 daripada kerajaan untuk rakyat Malaysia dewasa, namun berharap agar langkah yang lebih holistik diperkenalkan untuk menangani kenaikan kos sara hidup.

Chow berkata, bantuan tunai RM100 bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) itu tetap dihargai, maklum ia akan menelan belanja Putrajaya berbilion-bilion ringgit.

“Namun, saya percaya rakyat mengharapkan bentuk bantuan yang lebih menyeluruh, seperti inisiatif yang meringankan kos menjalankan perniagaan, atau projek prasarana yang mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan pertumbuhan,” katanya, menurut lidah rasmi kerajaan Pulau Pinang, Buletin Mutiara.

Chow mengakui Putrajaya sedang berdepan kekangan kewangan pada masa ini.

Pagi tadi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, bantuan sekali bayar itu akan disalurkan melalui MyKad, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan yang akan datang.

Katanya, bantuan wang itu boleh digunakan antara 31 Ogos hingga 31 Dis untuk membeli barangan keperluan asas di lebih 4,100 cawangan, termasuk pasar raya besar seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99 Speedmart.

Chow mengakui bahawa Malaysia sedang berdepan tekanan ekonomi domestik dan luar negara, dan berkata Anwar wajar diberi ruang dan masa untuk menangani isu-isu ini, termasuk tarif AS.

“Anwar patut diberi kebebasan untuk menjadi pengantara dan meringankan keadaan semasa. Beliau layak mendapat lebih banyak masa untuk menangani kebimbangan ini secara bermakna,” kata pemimpin DAP itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.