Tubuh suruhanjaya bebas lindung pemberi maklumat, bukan jawatankuasa, kata Wan Fayhsal

Tubuh suruhanjaya bebas lindung pemberi maklumat, bukan jawatankuasa, kata Wan Fayhsal

Ahli Parlimen Machang berkata Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat tidak menjamin kebebasan kerana anggota dilantik menteri.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata perlindungan kepada pemberi maklumat perlu sentuh akar permasalahan sebenar.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menyeru kerajaan mempertimbang penubuhan suruhanjaya bebas perlindungan pemberi maklumat, berbanding Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), berkata walaupun kerajaan ingin memperkenalkan jawatankuasa itu, namun langkah itu tidak menyentuh akar permasalahan sebenar.

“Tiada jaminan kebebasan jawatankuasa yang dilantik menteri.

“Tiada kuasa penguatkuasaan atau kuasa semak agensi penguatkuasaan dan tiada saluran alternatif yang sah dan selamat, jika agensi itu sendiri terlibat dalam salah laku,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025, di Dewan Rakyat.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU bagi bacaan kali kedua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata kerajaan berhasrat menubuhkan jawatankuasa tersebut dengan pengerusi dan anggota dilantik menteri.

Beliau berkata, ia boleh direalisasikan melalui pindaan RUU Perlindungan Pemberi Maklumat.

Azalina juga berkata, seramai 74,614 aduan berkaitan kelakuan tidak wajar diterima dan disiasat, manakala 1,139 diiktiraf sebagai pemberi maklumat dan diberi perlindungan dalam tempoh dua tahun, sejak 2021.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal menggesa kerajaan meluluskan perlindungan untuk pelaporan kepada media, NGO atau Ahli Parlimen jika pelapor tidak yakin terhadap agensi rasmi.

Beliau juga menuntut kerajaan memastikan pelapor dalam kes gangguan seksual, salah guna kuasa politik dan korporat diberi perlindungan tanpa prejudis.

“Saya mohon pindaan ini diteliti semula secara serius.

“Undang-undang yang lemah tidak menakutkan penjenayah ia hanya menakutkan pelapor. Wujudkan budaya berani menegur demi negara,” katanya.

Dalam pembentangan pindaan itu, Azalina berkata statistik, data atau maklumat dikemukakan kepada jawatankuasa tidak boleh merangkumi sebarang maklumat sulit dilindungi mengikut Seksyen 8 akta terbabit bagi memastikan tiada sebarang isu kebocoran maklumat.

Katanya, ia secara langsung memberi jaminan identiti pemberi maklumat kekal dilindungi seperti mana diperuntuk dalam Seksyen 6 akta berkenaan.

Azalina berkata, melalui pindaan itu, peruntukan Seksyen 6(1) tidak lagi menetapkan had atau limitasi khusus terhadap pendedahan kelakuan tidak wajar.

Katanya, kelakuan tidak wajar kini boleh didedahkan kepada agensi penguatkuasaan walaupun terdapat sekatan tertentu di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sebelum ini mengehadkan tindakan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.