
Beliau berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memperjuangkan hak Sarawak melalui rundingan dengan kerajaan persekutuan, berlandaskan kerangka MA63.
“Sarawak sudah berjaya mendapatkan kembali sembilan hak yang termaktub di bawah MA63, dan usaha akan diteruskan bagi memastikan semua hak yang terhakis dapat dikembalikan,” katanya menurut Bernama dalam Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Sarawak Ke-62.
Abang Johari jalinan kerjasama erat antara Sarawak dan kerajaan persekutuan membuktikan bahawa GPS merupakan kuasa politik yang disegani serta dihormati.
Katanya, pelantikan Fadillah Yusof sebagai timbalan perdana menteri serta kehadiran beberapa menteri dari negeri itu merupakan satu pengiktirafan besar kepada Sarawak.
“Anak Sarawak tidak pernah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini. Ini membuktikan bahawa Sarawak di bawah platform GPS adalah kuasa politik yang dihormati.”
Abang Johari berkata kerjasama erat yang terjalin dengan kerajaan persekutuan diteruskan demi kepentingan bersama negara dan Sarawak, selain yakin bahawa perjuangan memakmurkan negeri tidak menjejaskan usaha membangunkan negara.
“Pertambahan hasil Sarawak, termasuk menerusi cukai jualan negeri, tidak akan mengurangkan pendapatan negara kerana kerajaan persekutuan mempunyai ruang yang luas untuk menambah hasil tanpa membebankan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengimbas keputusan penting yang dibuat oleh pemimpin Sarawak 62 tahun lalu untuk menyertai pembentukan Malaysia demi keselamatan dan kemakmuran yang lebih terjamin.
Katanya, Sarawak kini menyumbang hampir 10% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjadikannya antara penyumbang tertinggi dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia.
Menurutnya, Bank Dunia turut mengiktiraf Sarawak sebagai kawasan berpendapatan tinggi untuk tiga tahun berturut-turut bermula 2022, berdasarkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita sebanyak RM73,100 pada 2024, melepasi nilai ambang RM63,800 yang ditetapkan.
“Status ini meletakkan Sarawak di kedudukan keempat selepas Kuala Lumpur dan Labuan serta Pulau Pinang, sekaligus mengatasi Selangor.”
Katanya, Sarawak berjaya mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi lapan tahun lebih awal daripada sasaran.